Tuesday, September 21, 2010

Isu Halal Kopitiam 1

Komentar : Isu Halal Kopitiam 1

Baru-baru ini di dalam surat khabar disebut terdapat kedai kopi yang tidak mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana statusnya meragukan. Yang dimaksudkan disini ialah kedai kopi yang menggunakan nama 'kopitiam'.



Kalau di kampung-kampung dulu tahun 70an, kedai-kedai kopi banyak diusahakan oleh taukeh-taukeh cina. Tapi boleh dikatakan semua orang tidak kira bangsa masuk minum dan bersembang di 'kedai kopi'. Kadang-kala 'melekat' dari pagi sampai petang dek secawan kopi. Ada yang sanggup berjalan kaki dari hujung kampung semata-mata kerana hendak minum secawan kopi. Kedai kopi itu pula bukan ada jual lain-lain barang keperluan lain. Hanya kalau ada pun roti bakar.

Tapi semenjak zaman Milenium ini, kedai-kedai kopi telah berubah fesyen. Yang di kampung masih dengan 'stail' lama. Tapi yang dimaksudkan di sini adalah kedai kopi moden. Zaman moden. Zaman serba serbi hendak cepat. Jadi, kedai-kedai kopi di kawasan bandar telah berminat menggunakan nama kopitiam. Pendek kata nama kedai kopi yang biasa didengar sudah bertukar nama dengan kopitiam.

Sekarang ini ada berpuluh-puluh kopitiam atau mungkin beratus berselerak dengan nama dan servis yang menarik untuk memikat pelanggan. Tapi yang menariknya, setiap kopitiam itu ada minuman kopi yang menjadi daya tarikan bagi pelanggan baru. Semua menu yang ada di situ disenaraikan beserta dengan harganya sekali. Order saja kata orang sekarang.

Tapi isu yang menjadi tanda tanya orang ramai ialah status halal bagi masakan yang dihidangkan. Sudah tentu nama kedai untuk sesebuah kopitiam mula-mula menjadi taruhan. Kalaulah namanya semacam sahaja, sudah tentu banyak persoalan bermain dikepala bagi orang yang mementingkan soal halal haram. Pendek kata orang ramai sudah mula mempertikaikan serba serbi bermula dari nama kopitiam, tuan punya, pekerja, cara masakan dan bahan yang digunakan untuk memasak.


Tapi dengan adanya logo-logo halal dari badan berkuasa yang mengiktiraf kopitiam tersebut, sekurang-kurangnya masalah was-was dalam hati untuk mencuba masakan di kopitiam tidak timbul. Apa yang susah sangat hendak minum di mana-mana kopitiam, cari saja yang kopitiam yang ada logo halal atau yang bernama tempatan.

(Mayaffiliate : Yang Halal tetap Halal, Yang Haram tetap Haram.)

No comments:

Post a Comment